aksara

"Kadang-kadang Tuhan sembunyikan matahari, Dia datangkan petir dan kilat, kita tertanya-tanya ke mana hilangnya matahari? Rupa-rupanya Tuhan ingin hadiahkan kita pelangi....."

Tuesday, June 1, 2010

I look at you

Aku dilahirkan dalam keadaan sempurna, dilahirkan atas dasar cinta Adam dan Hawa yang dianugerahkan dari tuhan yang mencipta Hawa dari tulang rusuk kiri yang bengkok. Cinta yang terlalu dalam sehingga tegar untuk ingkar perintah tuhan. Terpisah dan terbuang jauh, gelap malam, sendiri meratap sepi tanpa ada sesiapa disisi, kemaafan dan keampunan akhirnya diberi oleh pencipta itu tadi. Kala bertemu semula cinta itu di sebuah padang pasir yang terik dan kering namun basah dengan harapan dan perasaan sayang.

Aku adalah diriku, diriku yang selalu mencari sesuatu yang tidak akan jadi pasti, sesuatu yang ditegah oleh agama, dilarang oleh budaya, dipandang hina oleh sesetengah. Tamadun ini tercipta dengan adanya cinta, dan semua tamadun itu kekal berada kala cinta Adam dan Hawa terus bersama, melahirkan warisan dan keturunan. Kala Lut mahukan umatnya kembali ke jalan yang terang sedang umatnya terus berpaling. Andai kata semua umatnya itu telah hilang dari muka bumi ini. Maka di situ sahajalah hayatnya.

Namun sekarang adakah dunia memerlukan Lut diutus semula dan adakah hujan batu dan bumi diterbalikkan akan berlaku untuk kali kedua. Cinta terlarang. Cinta yang aku rasakan hadir dari hati kecil berbisik merasakan sebuah degupan kencang dan merasakan kehangatan sebuah ikatan yang jelas bukan sesuatu yang biasa namun ianya bukan lagi luar biasa atau pada bahasa indahanya luar tabii. Semua itu tercetus dari rangsangan minda dan rembesan akal yang terpesong? Pada aku itu adalah naluri dan kehendak dan ianya boleh menjadi pilihan.

Ikatan ini haram bagi sesetengah agama, kini sudah diterima dan dianggap kebebasan dalam hubungan yang hilangnya batas gender dan apa yang tinggal hanyalah ikatan yang diberi nama cinta yang sememangnya buta melihat batas usia, silang budaya, perseptif agama, dan dunia kebiasaannya. Cinta antara Adam atau cinta antara Hawa adalah bahan makalah, bahan canangan dan bukan lagi rahsia yang boleh dicerita dalam gelap sungi berbisik di dalam kelambu kerana hari ini cinta itu dilabel untuk semua.

Perasaan sayang bermula bila kita cuba mengenali, menerima kelebihan dan kekurangan, menghargai kehadiran dan mencuba untuk memberi apa yang dirasakan sebagai mempersembahankan semua yang ada untuk sebuah perkataan yang terlalu indah kepada kekasih hati. Kisah cinta sekarang bukan lagi dalam taman bunga berkejaran dan berlari di gigi ombak menghempas pantai. Semuanya hari ini dari komunikasi, toleransi, asimilasi dan keikhlasan hati.

Ikatan bukan lagi pada ijab dan kabul, akad dan perjanjian. Tapi pada persefahaman dan keterbukaan penerimaan. Hubungan seks adalah lambang sebuah cinta, namun tidak semestinya melakukan seks dianggap bercinta. Dahulu semua ini bukan bahan bualan. Zaman dan dekat berubah silih berganti tanpa henti. Manusia akan terus merasa hilang dan tidak pernah puas dan akan terus mencari. Pada aku semakin jauh berlari semakin sukar untuk menghampiri apa yang dihajati.

Aku dan diriku ibarat meratah hati, mencecah jiwa, mengulam jasad, memapah hasrat yang kelam untuk menjadi hakiki. Mimpi hanya indah pada malam hari dan bila mentari hadir menyapa pada fajarnya, maka hilanglah segalanya bersama awan yang sentiasa berubah dari barat dan timur yang terpaksa bergantung pada jasad bumi dan tidak terikat pada jiwa langit sedang angin setia selamanya untuk mengubah bentuk dan rupa. Namun awan itu masih lagi ikhlas memberikan teduhan dan lindungan sedang kekadang memberikan kilat, petir dan hujan.

Aku dan diriku masih lagi hilang dan sesat dalam sebidang benua mencari sebuah cinta dan harapan untuk hidup setia bersama selamanya. Indah sebuah ikatan yang aku dambakan ibarat tidak tercapai oleh akal waras manusia yang pernah bercinta dan berasa terluka tidak pernah menghalang untuk aku terus mengharap andai ada diluar sana sebuah cinta yang menjanjikan sebuah bahagia walaupun aku yakin dan percaya ianya bukan semudah yang aku gambarkan dan tidak sesenang mana penerimaan keluarga, teman dan setiap sisi insan yang menyaksikan hubungan yang aku kira masih terlarang dan tidak akan ada pelepasan atau penerimaan. Kerana sudah termaktub dan terkalam andai Hawa itu untuk Adam.

Cinta dalam hatiku terlalu dalam, andai kata jurang Mariana di lautan Pasifik adalah jurang terdalam dengun keadaan tekanan dan suhu terlampau boleh membeku dan menghancurkan jasadku. Pernah aku merasa bertapa hancur dan bekunya jasad dan bukan sahaja nyawaku hanya kerana cintaku hancur tanpa pernah aku ikat dengan hubungan yang ditolak ke tepi kerana cinta itu cinta terlarang dan bukan kerana semua alam tidak menerimanya namun orang yang aku cintai yang menolaknya.

Sungguhpun ini semua adalah jalan kekal sebagai laluan yang benar mengapa aku masih lagi bertahan dan mahu terus berdiri dan berlari untuk mencari sesuatu yang tidak pasti. Mungkin bahasa yang aku tulis ini terlalu metaphor dan penuh dengan bunga dan ritorik. Namun itulah indahnya cinta, boleh fasihkan yang buta huruf, boleh merdukan yang sumbang, boleh terangkan yang malap, boleh tenangkan yang kencang. Kekuatan cinta itu bukan lagi bahan sastera Shakespeare atau sejarah Shahjehan kerana kekuatan cinta itu ada pada semua manusia.

Aku dan diriku masih lagi mengharap andai ada cinta yang akan berjaya penuhkan impian dan harapanku. Masih ada cinta untuk menemani setiap tidur malamku dan masih setia hingga aku bangun disetiap paginya. Masih ada temankan aku berlari dari hujan mencari teduh, masih ada yang mengucup dahiku, masih ada yang mengentuh bibirku, masih ada yang membelai tanganku, masih melihat setiap jejak langkah kakiku. Andai perasaan ini ciptaan tuhan, aku akan terus berdiri atas pedihnya menidakkan apa yang aku rasakan. Sungguhpun aku terpaksa memikul langit demi cintaku, aku akan setia menunggu dengan yakin dan pasti bahawa ada juga cinta untukku suatu hari nanti.

I look at you.