aksara

"Kadang-kadang Tuhan sembunyikan matahari, Dia datangkan petir dan kilat, kita tertanya-tanya ke mana hilangnya matahari? Rupa-rupanya Tuhan ingin hadiahkan kita pelangi....."

Monday, May 3, 2010

Benarlah hidup ini indah. Dua hari lepas bahagian atas kiri mata ku asyik bergerak dan berdengut-dengut. Mungkin urat. Tapi aku percaya pada pegangan orang-orang tua andai kata ianya memberikan petanda yang tidak baik akan berlaku. Aku cuba yakinkan diri dan percayah bahawa tiada perkara sebegitu akan berlaku. Namun, hati mana yang tidak bimbang dan gusar. Bukan sekali dua, sepanjang hidupku selama 23 tahun ini petanda itulah yang selalunya benar. Akhirnya ia buktikan juga hakikatnya. Masalah wang, hilang thumdrive kesayangan aku 8G, dan jari telunjuk ku luka.

Aku bukan salahkan takdir atas apa yang berlaku. Aku terfikir sejenak, sebenarnya ianya kesilapan dan kecuaian ku sendiri. Tapi kenapa masih ada petanda untuk itu? Mungkin untuk aku bersedia dan berhati-hati? Aku terima ikhlas apa yang berlaku kerana aku yakin mungkin masih ada belas dari Dia untuk aku sebagai hikmah kerana bersabar dengan apa yang berlaku. Aku tiada rupa, aku tidak berharta, aku juga tidak miliki apa-apa, namun apa yang aku ada hanyalah cinta pada keluarga dan persahabatan.

Siapa yang tidak pernah berangan-angan miliki kekasih? Siapa yang tidak punya impian hidup mewah, shopping sana sini? Siapa yang tidak mahu hidup bahagia bersama keluarga dan gembira mengisi hidup remaja bersama rakan dan taulan? Aku manusia biasa yang inginkan semua itu. Tapi, aku masih terfikir, andai semua itu boleh aku beli dengan duit? Tapi aku tiada duit, aku bukan anak orag berada.

Semalaman aku mengelamun, andai aku adalah hartawan. Seribu satu perkara yang aku ingin dan cita-citakan begitu mudah untuk aku lakukan. Semua dengan duit? Tapi soal hati dan perasaan? Aku ada teman yang boleh aku klasifikasikan sebagai pisau cukur, anak ikan, gigolo dan ada yang berstatus pelacur. Seburuk manapun mereka, mereka tetap kawan-kawan aku. Tempat aku bergembira, bahu tempat aku meluah dan menitiskan air mata. Aku sayangkan mereka. Tapi terkadang aku cemburukan hidup senang mereka.

Mampu beli apa sahaja. Kamera DLR Nikon, Canon, Padini, Gucci, LV, dan seumpanya hanya dengan mendapatkannya dari orang lain. Mereka hanya perlu memberikan kepuasan dan kasih sayang palsu kepada “kekasih” mereka. Sejenak aku terfikir untuk melakukan perkara yang sama. Tidak perlu aku bersusah payah melakukan kerja berat, aku mampu miliki barang-barang mahal dan hidup mewah. Namun sampai bila? Dan siapalah yang mahukan aku? Mahukah aku terima sesiapa sahaja semudah mereka? Jujurkah aku?

Aku ingat lagi kata-kata seorang teman bahawa aku tidak akan hidup dengan “cinta dan perasaan” tapi dengan “kepura-puraan” yang dibayar dengan wang dan kemewahan. Andai kata aku selalu menonton cerita atau drama yang mengisahkan perempuan miskin yang bercinta dengan lelaki kaya dan lelaki itu berikan kegala-galanya kepada perempuan itu demi cinta. Adakah itu cinta? Namun adakah itu juga satu kepura-puraan? Zaman berganti zaman, tahun semakin jauh berjalan. Kini semua itu ibarat satu kerjaya dan mungkin satu profession. Anda hanya memerlukan susuk tubuh yang seksi dan menawan, juga rupa yang cantik atau comel dengan berperwatakan menarik dan manja. Anda sudah boleh mendapatkan bapa atau atuk orang yang mempungai anak dalam usia sebaya anda, ataupun cucu yang juga mungkin sebaya anda. Mungkin juga anda memerlukan susuk badan yang tegap dan sasa, juga memiliki wajah maskulin atau jambu anda juga mungkin perolehi emak atau nenek orang dan lebih menarik paling dasyat bapa atau atuk orang bagi mereka yang gay. Sebut apa sahaja yang anda mahu? Semua boleh dapat.

Hidup ini terlalu mudah, namun terlalu sukar untuk diterima. Kita tidak pernah puas dengan apa yang kita ada. Pencarian kita tidak pernah berakhir dan tiada penghujungnya. Andai kita tidak milikinya, kita akan berusaha dengan apa cara sekalipun walaupun terpaksa menghalalkan cara. Hanya demi memuaskan nafsu sendiri. Aku dan diriku. Cinderela, Snow White, Barbie, Fairy, Enchanted, Wonderland dan magical story tale adalah teman setia dalam aku menjadi dewasa. Ianya membuat aku yakin dan percaya andai kata suatu hari nanti akan tiba juga masanya untuk aku miliki segala-galanya bukan sahaja kemewahan tapi juga kebahagian dari cinta yang sejati. Kerana aku yakin dan percaya cinta sejati itu ada. Anda kata aku tidak temui insan itu, aku tetap akan bahagia kerana cinta itu adalah ikhlas memberi bukan mendesak untuk menerima.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home