aksara

"Kadang-kadang Tuhan sembunyikan matahari, Dia datangkan petir dan kilat, kita tertanya-tanya ke mana hilangnya matahari? Rupa-rupanya Tuhan ingin hadiahkan kita pelangi....."

Wednesday, June 3, 2009

Mengapa mesti dia….

Pertamanya aku memang suka menulis sesuatu yang berbisik dalam hatiku, berbandinga aku luahkan pada bibir dan akhirnya hanya rayuan gombal dari bicara yang terselit kepalsuan. Namun aku tidak dapat menjamin apa yang aku tulis ini adalah kebenaran tapi aku cuba minimumkan kepalsuan. Aku temui cinta dalam kesesatan dalam cahaya, aku temui derita dalam ketidakpastian kegelapan. Aku perluakan cahaya untuk berjalan didalam gelap, dan aku perlukan cinta sebagai petunjuk hala dalam keterangan cahaya. Lantas hati ku mendamba cinta, namun sejauh mana setia dan sejatinya cinta yang aku cari dan bagaimana pula yang aku perolehi.

Tiada kayu ukur yang begitu tepat dan sempurna untuk aku nilai kekuatan cinta. Kuasa yang sakti yang dapat merawat duka menjadi suka, membawa yang jauh sehingga rapat kulit bersentuh kulit, menenangkan degupan jantung yang kencang, mengukir senyuman pada bibir sedang air mata bercucuran. Semua ini melambangkan bertapa indahnya cinta. Kerana cinta Adam dan Hawa dibuang ke dunia, kerana sejati cinta mereka terpisah, kerana setia cinta mereka bertemu di Arafah. Saktinya cinta tuhan kepada Mariam kerana adanya Isa. Ajaibnya cinta Zulaikah kepada Sulaiman pada terik mentari di gurun Sahara. Terbuktinya cinta Ibrahim kepada tuhan untuk mengorbankan Ismail.

Semua ini adalah gambaran dan lukisan kehidupan yang menunjukkan keagungan cinta. Sedang aku mendamba cinta, aku rakus mengemis kasih namun duka yang aku perolehi. Kerana cinta yang ku ingini adalah cinta yang tidak hakiki, cinta melanggar ketetapan tabii, cinta merasuk nafsu duniawi, cinta rapuh untuk tegak berdiri, cinta munafik hanya untuk dicaci dan dimaki, cinta antara lelaki dangan lelaki. Sukar membingkis kata, mengulam bicara, melunjur lidah, membunyi irama, melontar suara, mengusun bahasa. Hanya untuk aku teriakan bertapa aku cinta padanya.

Terlanjur kata meluah rasa, aku tidak gentar pada setiap balasan kata yang dibingkis dari bibirnya. Sungguhpun dia meludah menunjukkan rasa benci yang membara. Aku terima jika dia masih berdiri pada sandaran Agama yang menghalangnya melangkahi norma yang dilakar alam dari tuhan. Namun aku hanya ingin dia tahu bertapa aku tidak pernah menipu. Aku hanya ingin dia mengerti bahawa apa yang aku rasa ini adalah pasti. Jika dia menolak aku kesamping, aku tetap berdiri pada cinta yang aku damba ini. Meskipun untuk terus melihatnya, berbicara dengannya, tersenyum dengannya aku terpaksa berbohong untuk belajar melupakan cinta ku padanya.

Pernahku terasa ingin membawa cinta yang terlarang ke titik mula, kembali mencuba untuk kali kedua, menggilapkan gerhana jiwa. Pernahku terasa ingin merayu pada kasih dulu pulang padaku, lupakan dosaku putihkan kelabu, tenangkan amarahmu. Namun, bisakah yang benci disayangi, bisakah yang dusta dimaafi, bisakah hatiku difahami…Biarlah aku terus jadi begini menanti cinta yang tidak pasti, mengharap mimpi akan hakiki. Meskipun penantian satu siksa, aku akan terus tabah berdikari, walaupun rapuh untuk berdiri.

Dia tidak akan pernah aku lupa, meskipun ada cinta lain yang ingin membisik kata. Cintanya hanya cahaya bukan petunjuk hala. Kerana aku masih mendamba cinta pada orang yang sama, sejak dari mula aku kenal makna meluah rasa, meskipun tiada ruang dalam hatinya buat aku sehingga selamanya…

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home